Followers

Tuesday 25 December 2012

~ Pemegang Watak Cinta 10 ~


Sampai di perkarangan rumah, Wafa kelam – kabut keluar dari perut kereta menuju ke pintu rumahnya. Dia mencari – cari kunci rumah di dalam beg tangannya. Aduh, mana pulak aku letak kunci rumah ni? Kasihan Waiz tunggu lama nak bukak pintu. Haish time – time macam ni la pun kunci nak hilang. Wafa sempat lagi mengomel sendirian.
            Tiba – tiba Wafa terlihat beberapa batang kunci ditayangkan di hadapan matanya. Ali yang sedang memegang kunci rumah Wafa itu sengaja menggoyang – goyangkan kunci rumah yang digantung bersama rantai kunci hello kitty di hadapan wajah Wafa. Bulat mata Wafa memandang kunci dihadapan mukanya itu. Macam pernah aku tengok key chain hello kitty ni.
            Ali tersengih lantas membuka pintu rumah Wafa dengan kunci di tangannya itu. “ Lain kali simpan kunci rumah elok – elok.” Sempat lagi Ali berpesan. Diraihnya tangan Wafa lalu diletakkan kunci rumah di tapak tangan kecil itu sebelum melangkah masuk. Wafa pula hanya menjuihkan bibirnya dan turut melangkah masuk.
            “ Macam mana kunci ni boleh ada kat awak pulak? Awak curi dalam handbag saya ya?” soal Wafa tidak puas hati.
            “ Awak yang tinggal dalam kereta tadi lepas tu nak salahkan saya pulak. Lagipun tak ada kerja saya nak curi kunci rumah ‘banglo’ awak ni.” balas Ali selamba. Sengaja dia menekankan perkataan banglo itu.
            Berani mamat ni perli rumah aku? Seperti biasa, taring Wafa mula tumbuh di gusi untuk membaham mangsa di hadapannya itu. Belum sempat dia membalas, kedengaran suara Mardiana memanggil namanya dari luar rumah.
            “ Wafa, tolong lah angkat barang ni sama. Berat lah.” rungut Mardiana sambil menjinjing beberapa beg plastik melangkah masuk ke dalam rumah.
            “ Alamak! Sorry Mar sorry. Aku kelam – kabut tadi nak buka pintu rumah. Terlupa pulak nak ambil barang.” Wafa tersengih segera dia menuju ke arah Mardiana lantas mengambil sedikit barang untuk dibawa masuk.
            Cis, nasib kau memang baik hari ni Ali! Kalau tak, memang malam ni aku akan bertukar jadi dinosaur fire kau tahu tak. Sempat lagi Wafa membebel. Ali pula sudah menarik nafas lega. Fuh, nasib baik! Aku kena sembunyi cepat sebelum aku dijadikan santapan harimau tu malam ni. Segera dia melarikan diri memasuki bilik tidurnya.
            Wafa dan Mardiana meletakkan barang – barang makanan yang baru dibeli di atas meja dapur. Dengan muka keletihan, Wafa membawa keluar barang – barang makanan yang dibelinya tadi dari dalam plastik.
            “ Wafa, aku pergi mandi dulu lah ya.” Mardiana melangkah longlai menuju ke bilik Wafa untuk mengambil tuala dan pakaiannya.
            Wafa hanya menganggukkan kepalanya perlahan lalu menyambung semula kerjanya. Dia menyimpan barang – barang makanan yang dibelinya tadi. Ada yang diletakkan di dalam peti ais, ada pula yang diletakkan di dalam almari dapur dan ada juga yang diletakkan di dalam sinki seperti ikan yang belum disiang.
            “ Hai kak, awalnya balik. Waiz ingat korang semua dinner dekat luar malam ni.” tegur Waiz tiba – tiba dari muka dapur.
            “ Huish semangat.. kau ni tak reti bagi salam ke apa Waiz?” Wafa mengurut dadanya perlahan. Terkejut.
            “ Assalamualaikum.” Waiz tersengih.
            “ Waalaikumussalam. Em kitorang balik awal ni sebab kau lah.” balas Wafa acuh tak acuh. Tangannya sibuk mengemas barang – barang di atas meja lagi.
            “ Eh, kenapa sebab Waiz pulak?” soal Waiz pelik.
            “ Ali cakap kau pesan dekat dia jangan balik lambat sebab kau tak ada kunci rumah nak masuk nanti. Kalau tak, memang kitorang dinner dekat luar aje malam ni.” jelas Wafa satu persatu.
            “ Eh, Waiz ada pesan macam tu ke dekat Abang Ali? Kan Waiz baru buat kunci pendua hari tu, akak tak ingat ke?” Waiz semakin pelik. Wafa juga seperti baru mengingati sesuatu.
            “ Ya tak ya jugak. Baru akak teringat tapi kenapa Ali...” belum sempat Wafa menghabiskan kata – katanya, kelihatan Ali sedang melintasi ruang dapur itu untuk menuju ke bilik air sambil memegang tuala.
            “ Hmm akak dah tahu dah kerja siapa ni.” Wafa bersuara tiba – tiba. Matanya tajam memandang tepat kelibat Ali. Ali pula sengaja buat - buat tak faham lantas menutup pintu bilik airnya.
***
Tepat pukul 11 malam, Wafa masih lagi tidak berganjak dari sofanya. Dia masih lagi tekun menanda buku latihan matematik pelajarnya yang tergendala siang tadi. Mardiana awal – awal lagi sudah dibuai mimpi agaknya. Tiba – tiba Wafa terlihat tangan seseorang meletakkan sebiji mug yang berisi milo panas di tepi buku yang sedang ditandanya itu. Lantas dia mendongakkan kepalanya untuk melihat siapa gerangan manusia yang hendak menganggunya tatkala dia sedang sibuk menyiapkan kerja.
            Ali mengukir senyuman kepada Wafa. Wafa sengaja memberikan jelingan tajam lalu menyambung kerjanya semula. Ali pula sengaja mengambil tempat menghadap perempuan yang sedang sibuk menyiapkan kerjanya itu.
            “ Setahu saya, anak murid je yang selalu buat kerja rumah last minute malam – malam macam ni. Tak sangka pulak cikgu pun buat kerja last minute jugak.” Perli Ali sambil menghirup air milo panas di dalam mug ditangannya.
            Wafa yang berasa tersindir serta – merta mengangkat kepala memandang pemuda di depan matanya itu. “ Saya jadi macam ni pun thanks untuk awak dan diorang lah. Korang kan beria – ria sangat tadi nak pergi shopping. Kalau tak, dah lama saya siap semak tau.” balas Wafa tidak puas hati.
            “ Esok sekolah dah start ye?” Ali menukar topik. Pandangannya masih menatap lembut wajah indah di hadapannya itu. Walaupun rambutnya hanya ditutupi dengan sehelai tuala, paras wajah Wafa cukup sempurna di matanya. Dari kening yang terukir rapi, mata comel Wafa yang bulat, hidung kecilnya yang sedikit mancung, bibirnya yang nipis walaupun insuran mulutnya sudah lama tamat tempoh semuanya amat memikat hati jejaka idaman Malaya itu.
            Yup. Kenapa awak tanya?” soal Wafa pula. Matanya masih memandang buku tulis di atas meja.
            “ Kalau awak pergi kerja, saya macam mana?”
            Wafa tersentak kecil. Lantas pandangannya dialihkan ke arah pemuda itu. Betul jugak tu. Kalau aku pergi kerja, tak kan nak biar mamat ni sorang – sorang pulak kat rumah. Nak harapkan Waiz tu ada aje hal dia nak keluar. Eh, aku ni macam jaga budak kecik lah pulak. Mamat ni kan dah besar panjang. Tak kan tak tahu nak jaga diri pulak kan.
            “ Em bila saya pergi kerja, awak duduk lah di rumah. Tolong mengemas ke, masak ke, cuci baju ke. Saya mengajar sesi pagi. Dalam pukul 2 macam tu biasanya saya dah sampai rumah.” Jelas Wafa.
            “ Sampai bila saya akan jadi orang tak berguna macam ni?” soal Ali lagi. Kali ni nadanya lebih serius.
            Wafa sudah meletakkan pen merahnya di atas meja. Pandangan matanya tepat menghala ke wajah Ali. “ Awak dengar sini, tak ada seorang pun yang dilahirkan dalam bumi ni untuk jadi orang yang tak berguna. Awak masih muda, ada tenaga yang banyak nak buat kerja kan? Awak tak boleh cakap diri awak ni tak berguna.”
            “ Kalau diri saya ni berguna, saya tak kan hilang ingatan. Keluarga saya sendiri pun tak datang cari saya. Diorang langsung tak risaukan saya di mana, apa saya makan, macam mana keadaan saya sekarang ni.” Ali meluahkan perasaan yang bersarang dibenaknya selama ini.
            “ Astaghfirullahalazim, Ali. Awak kena terima qada’ dan qadar. Awak tak boleh nak salahkan ketentuan takdir. Awak anggaplah yang sebenarnya Allah bagi kehidupan baru untuk awak rasa. Bukan semua orang dapat rasa pengalaman macam ni awak tahu tak? Awak sepatutnya bersyukur sebab awak masih selamat.” Nada Wafa separuh memujuk. Perasaan bersalah mula terbit di hatinya.
            “ Sudah empat hari saya masih macam ni. Saya cuba hidup seperti apa yang bagitau saya tapi saya tak mampu. Saya rasa hidup saya langsung tak bermakna. Awak bukan di tempat saya, Wafa. Awak tak kan faham.”
            Wafa meredupkan pandangannya. Terasa bersalah dan simpati yang teramat sangat bertimpa – timpa di dalam dirinya kini. Apa nak jadi pun jadi lah. Aku akan bagitau kebenarannya hari ni jugak.“ Saya faham, awak. Saya faham sangat bila seseorang tanpa keluarga. Cuba hidup sendiri. Saya minta maaf sangat dengan awak. Saya tahu saya berdosa besar dengan awak, dengan keluarga awak dan terutama sekali dengan Allah.” Air mata Wafa mula menakung di dalam kelopak matanya. Hanya tinggal masa untuk mengalir sahaja.
            “ Sebenarnya saya ni bukan sepupu awak kan?” Biji mata Ali tepat memandang wajah Wafa.
            Wafa terperanjat besar. Tak terlintas langsung di fikirannya yang Ali akan membalas begitu. “ Err mana awak tahu?” Wafa gagap.
            Ali mengeluarkan sesuatu dalam kocek seluarnya lalu dihulurkan kepada Wafa. Dompet? Wafa menyambut huluran Ali yang merupakan sebuah dompet kulit berwarna coklat gelap itu. Lantas dibukanya dompet itu perlahan – lahan. Terbeliak biji matanya apabila melihat gambar yang tertera di kad pengenalan yang berada dalam dompet itu.
            “ Ni dompet awak ke?” Wafa menayangkan semula dompet itu kepada Ali.
            Ali hanya menganggukkan kepalanya. Lantas dia mengambil semula dompet itu dari tangan Wafa. “ Saya jumpa dompet ni dalam poket seluar yang saya pakai waktu kemalangan tempoh hari. Sejak dari hari tu jugak, saya tahu nama saya bukan Ali tapi Tengku Aakif Nawfal.”
            Wafa ternganga mendengar penjelasan dari mulut Ali a.k.a Tengku Aakif Nawfal. Seperti apa yang baru didengarnya tadi berlaku dalam mimpi. “ Te.. Tengku?” Wafa tidak mampu meneruskan ayatnya.
            “ Ya dan sebab nama Tengku lah, saya yakin awak bukan sepupu saya betul tak?” balas Ali lagi.
            “ Tapi kenapa baru sekarang awak nak bagitau saya? Maksudnya selama 4 hari ni, awak memang dah tahu saya tipu awak?”
            Tengku Aakif Nawfal hanya menganggukkan kepalanya. Air mukanya masih tampak tenang. “ Sebabnya saya tak tahu apa yang saya patut buat. Even kalau saya cari alamat dalam IC ni pun, orang yang saya paling rapat ketika ini adalah awak.”
            Wafa terkedu. Dia menelan air liur yang tersekat dikerongkongnya. Adakah maksud dia, dia tak nak balik rumah dia sebab aku? Biar betik mamat ni. Aku ada mandrem dia ke? “ Habis tu, awak tak nak jumpa family awak ke? Diorang mesti tengah cari awak sekarang ni.”
            “ Siapa yang tak nak jumpa family sendiri, Wafa. Tapi macam mana caranya? Ni alamat ni, awak tahu ke dekat mana?” Tengku Aakif Nawfal menunjukkan alamat yang tertera dalam kad pengenalannya itu kepada Wafa.
            Wafa menggelengkan kepalanya lalu tersengih. “ Em macam ni, kita minta tolong pihak polis nak? Mesti family awak ada buat police report betul tak?”
            Tengku Aakif Nawfal merenung lama wajah lembut di hadapannya. “ Awak sanggup terima risiko lepas ni kalau pihak polis tahu pasal saya?”
            Wafa menganggukkan kepalanya perlahan. Dia redha. “ Tapi awak kena janji dengan saya, awak dan keluarga awak tak kan saman saya sebab langgar awak tempoh hari? Saya tak nak masuk lokap.” Wafa menayang muka meminta simpati.
            “ Kan Doktor Taufiq awak tu ada bagitau yang kepala saya ni kena pukul dengan objek keras, bukannya sebab kemalangan. Awak tak ingat ke?”
            “ Betul jugak kan. Tapi saya tetap rasa bersalah sangat dengan awak. Saya tahu saya tak sepatutnya sorok awak dekat sini. Awak mesti marah dengan saya kan? Saya minta maaf sangat – sangat, Ali eh err Tengku.”
            It’s ok. Sebenarnya, saya tak luak sikit pun duduk serumah dengan perempuan yang bukan muhrim.” Balas Aakif tersengih. Lantas dia bangun dari tempat duduknya menuju ke arah dapur.
            Wafa hanya mampu tercengang memandang kelibat Aakif melangkah pergi. Tak luak dia cakap? Hah apa dia ingat aku suka sangat ke duduk serumah dengan dia? Ok fine. Esok jugak aku suruh family kau datang ambil kau kat sini. Mentang – mentang lah keturunan Tengku. Nak berlagak lah tu. Sikitpun aku tak heran lah. Bentak Wafa sendirian.

No comments:

Post a Comment

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?