Followers

Thursday 27 December 2012

~ Pemegang Watak Cinta 13 ~


Keesokan harinya, seluruh keluarga besar Allahyarham Tan Sri Tengku Mustapha gempar dengan berita yang baru diterima dari pihak polis pagi tadi. Puan Nafeesah sudah menitip berjuta kesyukuran kepada Ilahi apabila mendapat berita anak tunggalnya masih selamat. Puan Sri Tengku Sakinah yang sudah terlantar sakit beberapa hari yang lepas akibat kehilangan cucu kesayangannya itu juga turut berasa terlalu gembira dan bersyukur.
            Tengku Danial Hakimi dan Puan Diyana segera keluar dari perut kereta menuju ke arah pintu utama rumah argam itu. Belum sempat mereka berkata apa – apa, Puan Nafeesah terus meluru memeluk Puan Diyana. Tengku Danial Hakimi pula segera merapati bapa saudaranya, Tengku Muaz yang sedang duduk di sofa ruang tamu itu.
            “ Paksu betul ke apa yang Kimi dengar? Aakif masih selamat?” Riak kurang senang di mukanya sedaya – upaya disorokkan.
            “ Betul Kimi. Pagi tadi pihak polis bagitau paksu ada orang buat laporan, dia terjumpa Aakif kemalangan.” Balas Tengku Muaz tenang.
            Air muka Tengku Danial Hakimi serta – merta berubah. Biji matanya dikerlingkan ke arah Puan Diyana. Ibunya juga turut terperanjat. Disangkanya Aakif sudah mati. Macam mana boleh jadi macam ni? Aakif masih hidup? Aku tak percaya! Aku tak kan biarkan benda ni berlaku! Tidakkk..
            “ Paksu, pihak polis ada bagitau tak Aakif ada di mana sekarang? Siapa yang selamatkan dia paksu?” soal Kimi lagi. Tidak sabar.
            “ Em polis tak bagitahu secara detail lagi tapi yang pasti hal ni berkaitan dengan kes jenayah. Ada orang cuba nak bunuh Aakif.” jelas Tengku Muaz.
            “ Bu..bunuh Aakif?” Kimi sedikit gagap.
            “ Ya, paksu pun tak sangka kes ni jadi serius sampai macam ni. Tapi Kimi jangan risau lah, petang nanti paksu dengan pihak polis akan pergi ke tempat yang Aakif tinggal selama ni.”
            “ Kimi nak ikut paksu boleh?” Tengku Danial Hakimi bersuara tiba – tiba.
            Tengku Muaz sedikit terperanjat. Seketika kemudian, dia mengukir senyuman hambar lalu menepuk perlahan bahu anak muda itu sebelum berlalu pergi. Tengku Danial Hakimi menyandar lemah badannya di sofa mewah itu. Puan Diyana segera mengambil tempat di sebelah anak lelakinya apabila kelibat Puan Nafeesah dan Tengku Muaz sudah tiada di ruang itu.
            “ Macam mana sekarang ni Kimi? Kalau Aakif selamat, maksudnya dia akan tahu lah Kimi yang cuba bunuh dia kan?” Puan Diyana mula risau.
            “ Bawak bertenang dulu, ma. Jangan bising – bising kat sini. Nanti diorang dengar macam mana?” balas Kimi cuba memperlahankan suaranya.
            “ Mama tak nak Kimi masuk penjara, sayang. Kalau kena hukuman gantung macam mana? Mama tak sanggup Kimi.” Puan Diyana mula tak keruan.
            “ Mama dengar sini ya, kalau pihak polis dah tahu Kimi yang nak bunuh Aakif, mesti lah awal – awal lagi diorang dah tahan Kimi. Kimi rasa mesti ada something yang tak kena ni.”
            “ Apa maksud Kimi?” soal Puan Diyana pelik.
            “ Mama jangan risau ya. Petang ni, paksu dah janji akan bawak Kimi ikut dia pergi jemput Aakif. Apa – apa hal Kimi inform dekat mama ok?”
            Belum sempat Puan Diyana membalas, tiba – tiba kedengaran Puan Nafeesah datang membawa dulang yang berisi jug air oren bersama dengan dua gelas kosong. Kedua – dua anak beranak itu segera mengunci mulut.
            “ Apa yang dibualkan perlahan sangat tu dari tadi?” Puan Nafeesah tersenyum sambil meletakkan dulang air di atas meja. Lalu dia duduk berhadapan anak dan ibu itu.
            “ Tak ada apa yang penting pun, Nafeesah. Kimi ni dah pandai – pandai buat janji lepas tu tak jadi ikut paksu dia pulak pergi jemput Aakif. Apa yang disibukkan sangat di ofis tu pun entah lah.” Puan Diyana memberi alasan.
            Tengku Danial Hakimi hanya mampu tersengih. Pandai betul mama aku menipu. “ Ma, Kimi pergi ofis dulu lah ye. Maksu, nanti tolong bagitau paksu bila nak pergi jemput Aakif nanti call Kimi dulu ya.”
            Puan Nafeesah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Usai bersalaman dengan ibunya, Tengku Danial Hakimi segera melangkah keluar menuju ke arah kereta mewahnya yang diparkir di dalam garaj. Hatinya langsung tak tenteram dengan apa yang baru didengarnya tadi. Dia menekan laju pedal minyaknya meninggalkan perkarangan rumah banglo itu.
            Sampai di perhentian lampu isyarat, Kimi mencari – cari handsfree telefon bimbitnya lalu dipakai ke telinga. Dia segera mendail nombor seseorang. Beberapa minit kemudian, panggilannya dijawab.
            “ Apa yang korang buat ni, Black?” tanpa mukadimah apa pun, Tengku Danial Hakimi terus menyembur orang suruhannya itu.
            “ Kau ni kenapa tak pasal – pasal maki aku, apahal bro?” Black membalas selamba.
            “ Kau tahu tak Aakif masih hidup sekarang ni?”
            “ Hah? Kau biar betul Kimi. Mana kau tahu ni?”
            “ Biar betul kepala hotak kau! Dah memang betul lah. Sekarang apa kita nak buat? Pihak polis dah suspek ni kes bunuh tahu tak.”
            “ Sabar dulu Kimi. Kau bagitau aku Aakif ada kat mana sekarang? Biar aku settle kan.”
            “ Tak payah. Aku dah tukar plan. Asalkan korang semua tutup mulut sudah. Yang lain biar aku yang uruskan. Ingat aku tak nak sampai pihak polis hidu siapa punya kerja ni, faham?”
            Belum sempat Black membalas, Kimi terus memutuskan panggilannya. Aakif..Aakif kenapa liat sangat eh kau nak mati? Kau memang tak boleh tengok aku senang kan? Kau tunggu lepas ni, Aakif. Aku tak kan biarkan kau bahagia sedikit pun.
***
Wafa meletakkan beg tangan dan beberapa buah buku rujukannya di atas meja. Lantas dengan tubuh yang masih tersarung baju kurung dan kepala yang ditutupi dengan tudung bawalnya, Wafa terus mendarat di atas sofa. Dia menarik nafas lega apabila dapat berbaring dan merehatkan dirinya setelah seharian mengajar di sekolah. Kena pulak hari ni kelas penuh. Tak ada masa langsung nak rehat.
            Matanya terbuka luas memandang syiling ruang tamu itu. Kakinya pula digoyang – goyangkan tanda sangat selesa. Wah, nikmat betul hidup kalau hari – hari boleh berbaring macam ni! Ala malam ni nak kena buat soalan ujian murid – murid pulak. Patut lah pengorbanan cikgu ni harus dikenang. Korang ingat korang aje yang tak suka kertas ujian? Cikgu yang nak membuat soalan ni lagi tak suka tahu tak? Wafa membebel seolah – olah anak muridnya berada di depan mata tika itu.
            Dalam diam, Tengku Aakif Nawfal begitu ralit memerhatikan gelagat Wafa Amani dari muka pintu biliknya. Dia tersenyum kecil. Comel! Lantas dia mengatur langkah menuju ke ruang tamu. Dia sengaja menayangkan mukanya di depan mata Wafa yang sedang asyik memandang syiling itu.
Wafa terkejut. Serta – merta dia mengangkat kepalanya untuk membetulkan cara duduknya yang tak sopan itu. Dengan tak sengaja dahi Wafa terhantuk pada hidung mancung lelaki itu. Aakif segera memegang hidungnya yang sedang bertukar warna merah. Sakit. Wafa juga menggosok – gosok dahinya yang merah itu. Aduh, tulang hidung mamat ni besi ke apa? Sakit gila!
Tengku Aakif Nawfal segera meneliti wajah bersih tanpa sebarang cela itu. “ Dahi awak lebam ni.” Mata Aakif masih memandang tepat dahi merah itu.
“ Ha biar betul? Kat mana lebam tu, awak? Kat mana?” Wafa meraba – raba dahinya dengan tangan.
Aakif menyentuh lembut dahi itu dengan tangannya. Jari telunjuknya menekan sedikit di kawasan yang lebam. Wafa terkedu. Lansung tidak bersuara. “ Kat sini. Awak tuamkan dengan tuala yang berwap suam. Lepas tu, sapu minyak angin. In shaa Allah ok nanti.”
Wafa hanya menganggukkan kepalanya perlahan tanda akur. Dia terpegun memandang wajah tampan itu dari arah dekat. Perasaannya tika itu sama dengan perasaannya apabila pertama kali melihat wajah lelaki itu sewaktu dia membersihkan darah di wajah Aakif dulu. Kenapa aku rasa berbunga – bunga ni tengok muka dia? Dup dap dup dap. Eh, bunyi apa ni? Jantung aku ke? Apasal laju semacam je bunyi dia?
Kedengaran bunyi hon kereta dari luar rumah mematikan lamunan gadis itu. Wafa Amani dan Tengku Aakif Nawfal tersentak. Wafa segera bingkas menuju ke muka pintu manakala Aakif hanya memerhati dari tempat duduknya. Wafa memberikan sebuah senyuman ke arah dua orang pegawai polis yang sedang melangkah masuk ke dalam kawasan rumahnya. Dibelakang mereka kelihatan seorang perempuan dan dua orang lelaki yang berpakaian kemas membontoti pegawai polis itu. Siapa pulak tu? Siap pakai kot hitam bagai. Jangan – jangan lawyer nak saman aku kot. Alamak, gelap lah masa depan aku kalau macam ni.
“ Assalamualaikum, Cik Wafa.” Salah seorang dari anggota polis itu memberi salam.
“ Waalaikumussalam. Jemput lah masuk dulu, tuan.” Wafa sedaya – upaya mengukir senyuman sedangkan jantungnya bagai nak luruh. Takut.
            Kesemua tetamunya itu akur lalu membontoti Wafa melangkah masuk ke dalam rumah. Kelihatan Wafa sedang membincangkan sesuatu dengan kedua – dua pegawai polis itu. Seketika kemudian, mereka segera meminta diri. Wafa juga sudah dimaklumkan bahawa ahli keluarga Aakif datang untuk menjemput Aakif pulang ke rumah.
Saat itu juga, Tengku Muaz, Puan Nafeesah dan Tengku Danial Hakimi hampir terbeliak biji mata melihat raut wajah seorang pemuda yang sedang memandang pelik ke arah mereka.
“ Aakif?!!” serentak nama itu terbit dari bibir mereka. Puan Nafeesah segera mendapatkan Tengku Aakif Nawfal yang masih tercengang.
“ Aakif mana kamu pergi selama ni nak? Mama rindu sangat dengan Aakif. Syukur Ya Allah. Anak mama masih selamat.” Puan Nafeesah sudah mengalirkan air mata memeluk anak terunanya itu. Tengku Aakif Nawfal pula teragak – agak untuk membalas pelukan. Biji matanya masih menghala ke arah Wafa meminta penjelasan.
Aakif? Betul! Tak syak lagi lelaki tu Aakif. Sepupu aku. Apa aku nak buat sekarang ni? Macam mana kau boleh selamat Aakif? Dan macam mana perempuan ni boleh musnahkan rancangan aku? Tak guna! Tenang Kimi tenang. Game belum over lagi. Kau lihat dulu apa yang akan berlaku lepas ni. Tengku Danial Hakimi cuba menenangkan nalurinya yang sedang memberontak.
Wafa hanya memandang sayu ke arah Aakif yang masih dipeluk ibunya itu. Masih segar diingatannya dengan kata – kata Aakif dulu.
“ Bersyukur lah Wafa. Sekurang – kurangnya awak bertuah tau, awak masih ada adik. Macam saya ni, saya tak tahu siapa diri saya sebenarnya. Yang saya tahu, sejak saya celik mata kat hospital hari tu, hanya awak seorang yang kenal saya. Siapa family saya pun, saya tak tahu.”
Bahagianya bila dipeluk ibu macam tu. Aakif, memang saya bertuah sebab saya ada adik. Tapi awak lagi bertuah sebab mempunyai ibu bapa di sisi awak. Ibu, Wafa rindukan ibu sangat. Air mata Wafa mula bergenang.
“ Em cik...” Tengku Muaz memulakan bicaranya.
“ Wafa Amani. Tuan panggil saya Wafa je.” Wafa mengukir senyuman.
“ Eh, jangan lah bertuan – tuan pulak dengan pakcik. Pakcik sekeluarga terhutang budi sangat dengan Wafa. Kalau tak sebab Wafa yang selamatkan Aakif, pakcik pun tak tahu lah apa yang berlaku.”
“ Ala benda kecil je pakcik. Semua yang berlaku ni atas kehendak Allah SWT jugak. Saya cuma menolong apa yang termampu je.” Balas Wafa tersenyum. Matanya dikerlingkan sedikit ke arah Aakif.
“ Pertolongan Wafa ni terlalu besar buat keluarga kami. Makcik betul – betul berterima kasih dekat Wafa sekeluarga. Makcik tak sangka masih ada lagi orang yang baik hati macam ni.” giliran Puan Nafeesah pula menyampuk.
Wafa tersenyum lagi mendengar pujian yang melambung buat dirinya. Belum sempat dia membalas, Aakif segera menyampuk.
“ Eh kejap, apa yang berlaku semua ni? Saya tak faham lah. Makcik ni siapa? Pakcik tu pulak siapa?” Aakif memandang setiap raut wajah yang sedang tertancap ke arah mukanya. Kesemuanya terperanjat melainkan Wafa. Tengku Danial Hakimi mulai pelik.
Wafa menarik nafas dalam. “ Tengku, sebenarnya pakcik ni ayah awak. Makcik tu pulak ibu awak.” Wafa cuba menerangkan.
Serta – merta semua mata beralih ke arahnya pula. Keadaan bertambah pelik. Tengku Aakif Nawfal sudah menunjukkan muka terperanjatnya. Manakala yang lain masih memandang tepat ke arah Wafa meminta penjelasan.
“ Sebenarnya, Tengku mengalami amnesia sejak kemalangan tempoh hari. Dia tak ingat apa – apa langsung tentang dirinya.” Jelas Wafa lagi.
Sekali lagi semua yang berada di situ terperanjat. Terutama sekali Tengku Danial Hakimi. “ Macam mana boleh jadi sampai macam ni?” Puan Nafeesah seakan tidak percaya. Dia mengusap perlahan rambut di dahi anak lelakinya itu.
“ Waktu Tengku dimasukkan ke hospital hari tu, doktor ada cakap dengan saya yang kepala Tengku mengalami kecederaan parah. Tengku kehilangan banyak darah waktu tu. Mungkin sebab dipukul dengan objek keras.” Sambung Wafa lagi. Air muka Tengku Danial Hakimi mula berubah.
Tengku Muaz menganggukkan kepalanya perlahan tanda memahami. “ Tak apa lah. Pihak polis ada bagitau kami mungkin kes ni adalah kes jenayah. Apa sekali pun, sekali lagi pakcik berterima kasih dengan Wafa sekeluarga ya. Aakif masih selamat pun kami dah bersyukur sangat.”
“ Kif, kau kenal aku lagi tak?” baru kedengaran suara Kimi menyampuk tiba – tiba.
Tengku Aakif Nawfal merenung lama wajah pemuda itu. Renungan tajamnya membuatkan Kimi tiba – tiba tidak senang duduk. Lantas Aakif menggelengkan kepalanya perlahan.
“ Kau siapa?”
Tengku Danial Hakimi menarik nafas lega perlahan – lahan. “ Aku sepupu kau lah. Paksu, makin banyak lah kerja kita lepas ni nak kena buat sesi suai kenal dengan saudara – mara semua.” Kimi cuba mengukir senyum.
“ Assalamualaikum.” Tiba – tiba kedengaran Waiz memberi salam dari muka pintu. Terperanjat kecil dibuatnya apabila melihat beberapa tetamu yang sudah memenuhi ruang tamu rumahnya. Lantas dia menyalami tangan Tengku Muaz dan Tengku Danial Hakimi.
“ Em ni adik saya, Waiz.” Wafa memperkenalkan adik lelakinya.
“ Wafa tak tinggal dengan parents ke?” Puan Nafeesah menanya soalan yang sama seperti anaknya dulu.
Wafa menggelengkan kepalanya perlahan. “ Ibu dan ayah saya dah lama meninggal dunia.”
“ Maaf, makcik tak tahu pulak. Habis tu, Aakif tinggal dalam rumah ni dengan Wafa dan adik Wafa je lah ye?” soal Puan Nafeesah lagi.
“ Em buat masa ni kawan saya pun ada jugak tinggal sekali.” Balas Wafa lagi. Puan Nafeesah hanya menganggukkan kepalanya perlahan tanda memahami.
“ Wafa, ni kad pakcik. Kalau ada apa – apa masalah, call aje nombor kat situ ye. Mungkin dengan cara ni je pakcik boleh balas jasa Wafa.” Tengku Muaz menghulurkan sekeping kad kepada Wafa. Wafa hanya tersenyum sambil menyambut huluran itu.
“ Nampaknya hari pun dah lewat dah ni. Kami minta diri dulu lah ye. Sekali lagi kami sekeluarga berterima kasih sangat – sangat dengan Wafa.” Tengku Muaz mula bangun dari sofa diikuti dengan Kimi dan Puan Nafeesah. Puan Nafeesah sudah memegang erat tangan anak terunanya. Dengan perasaan berat hati, Tengku Aakif Nawfal terpaksa melangkah perlahan menuju ke muka pintu.
Usai bersalaman dengan Puan Nafeesah, Wafa hanya memerhati bekas sepupunya itu memasuki bahagian belakang kereta mewah. Dia melihat wajah lelaki itu lama dengan harapan Aakif memandang ke arahnya. Namun, Aakif masih lagi tidak menoleh ke arah Wafa. Tiba – tiba hatinya meruntun sedih. Air matanya mula bergenang. Terasa berat untuk melepaskan pemergian lelaki itu. Sampai hati kau Tengku. Dah la tak cakap apa – apa kat aku. Tengok muka aku pun kau tak nak di saat – saat akhir ni.
Akhirnya, Wafa hanya mampu memerhati belakang kereta mewah itu meluncur laju meninggalkan perkarangan rumahnya. Dengan langkah yang lemah, dia melangkah masuk ke dalam rumah. Waiz sudah pun tercegat di muka pintu melihat air muka kakaknya yang nyata muram.
“ Tak kan tak sampai seminit akak dah rindu kot?” Waiz tersengih mengusik.
“ Hish apa kau merepek ni Waiz? Akak nak rindu orang yang tak tahu nak ucap selamat tinggal tu ke? Tolong lah ok...” Wafa segera melangkah masuk ke dalam rumah. Geram pulak dia dengan perangai si Aakif tu.
Dari air muka pun dah boleh kenal rindu ke tidak, kak. Sempat lagi Waiz mengomel sendirian. Lantas dia menutup pintu rumahnya dan melangkah masuk ke dalam.
Sementara itu di dalam kereta, Tengku Aakif Nawfal masih lagi menyepikan diri. Dirasakan dirinya betul – betul dikelilingi orang asing tika itu. Puan Nafeesah masih memaut erat lengan anak lelakinya seperti tidak mahu lepas.
            “ Aakif, kenapa senyap je ni? Aakif tak kenal mama ke?” Puan Nafeesah memulakan bicara. Tengku Muaz sudah menoleh ke tempat duduk belakang. Tengku Danial Hakimi pula hanya memandang melalui cermin pandang belakang.
            Tengku Aakif Nawfal memandang wajah wanita itu lama. “ Mama?” Puan Nafeesah tersenyum lantas menganggukkan kepalanya laju.
            Aakif menoleh pula ke arah Tengku Muaz. “ Papa?”
            “ Betul Aakif. Ni papa dan mama Aakif. Syukur sangat Ya Allah, Aakif masih ingat pada kami.” Puan Nafeesah sudah mengalirkan air mata. Tengku Muiz pula sudah tersenyum gembira.
            “ Saya ingat apa yang Wafa cakap dengan saya tadi.” Aakif tiba – tiba membalas.
            Tengku Muaz dan Puan Nafeesah tersentak. Mereka berpandangan sesama sendiri. Tengku Danial Hakimi sudah tersengih sendiri. Hilang ingatan? Nampaknya permainan hidup kau semakin seronok lah lepas ni, Kif.
            “ Em tak apa lah. Nanti papa akan bawa Aakif jumpa dengan doktor pakar ye.” Tengku Muaz menyampuk.
            “ Kesian anak mama jadi macam ni.” Puan Nafeesah mengusap perlahan tangan kasar anaknya.
            Sepanjang perjalanan, Tengku Aakif Nawfal hanya mendiamkan diri. Matanya asyik memerhatikan luar tingkap. Nyata dia sudah rindukan Wafa. Dia tak sampai hati melihat wajah mulus wanita itu buat kali terakhir. Aku minta maaf, Wafa. Aku tak sempat nak cakap apa – apa dengan kau tadi. Aku harap kau halalkan semua makan minum dan tempat tinggal aku selama ni. Terima kasih untuk segalanya.

2 comments:

  1. Salam, wah akhirnya dapat juga Akiff bertemu dengan familinya. Kesian plak kat Wafa tiba-tiba hilang kawan bergaduh, hujung minggu plak nak kena pinang mesti serabut dan susahati.

    Harap Wafa dan Akiff dapat bertemu semula selepas ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihi terima kasih ya seri ayu sudi membaca =)

      tunggu sambungan nanti tau ^^

      Delete

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?