Followers

Friday 28 December 2012

~ Pemegang Watak Cinta 14 ~


Wafa cuba melelapkan matanya yang masih segar. Kejap – kejap dia akan mencelikkan semula biji matanya. Kemudian, dia akan menoleh ke kiri ataupun kanan. Sah, aku tak boleh tidur! Dia mengerling jam dinding di biliknya. Seketika kemudian dia melepaskan keluhan berat. Dah pukul 12 setengah malam ni. Tidur lah wahai mataku sayang.
            “ Kau tak boleh tidur ke Wafa?” Mardiana yang sedang berbaring di sebelahnya bersuara tiba – tiba.
            Wafa terperanjat kecil. Lantas dia menoleh ke arah temannya itu. “ Aku ingat kau dah tidur, Mar.”
            “ Nak tidur macam mana dengan katil yang asyik bergerak – gerak je dari tadi. Kau ada masalah ke Wafa?” Mardiana sudah mengubah posisinya memandang wajah Wafa dalam kesamaran lampu tidur bilik itu.
            “ Masalah memang tak pernah lari dari hidup kita ni Mar. Tapi entah lah mata aku ni dari tadi tak boleh nak lelap.” Balas Wafa perlahan. Matanya kembali merenung syiling bilik tidurnya.
            “ Kalau kau ada masalah, kau cerita lah dengan aku ye. Mana tahu aku boleh tolong.” Balas Mardiana lagi.
            “ Kau bukan sibuk ke semenjak dua menjak ni? Macam mana boleh ada masa nak tolong aku ni?” seloroh Wafa.
            “ Tolong dengar aje lah maksud aku. Eh, apasal dari aku balik kerja tadi aku tak nampak sepupu kau tu? Dia pergi mana?” Mardiana mula menayang wajah pelik.
            Sekali lagi Wafa melepaskan keluhan berat. “ Dia dah balik rumah dia petang tadi.” Balas Wafa pendek.
            Mardiana terkejut kecil. “ Balik rumah? Eh Wafa, sebenarnya dari hari tu aku nak tanya kau. Kenapa sepupu kau tu tumpang rumah kau eh? Dia ada kerja ke apa – apa ke kat tempat ni?”
            “ Sebenarnya dia bukan sepupu aku, Mar. Nama dia pun bukan Ali. Aku tak kenal siapa dia. Yang aku tahu, aku dah langgar dia. Lepas tu, aku bawak dia pergi hospital and akhirnya aku bawak balik rumah. Waktu tu aku buntu tak tahu nak buat apa.” Jelas Wafa satu persatu.
            Mardiana terlopong. Langsung tidak terlintas difikirannya akan terjadi insiden sebegitu rupa dalam hidup teman baiknya itu. “ Lepas tu, lepas tu Wafa?”
            “ Lepas tu, ditakdirkan lelaki tu hilang ingatan. Sebab tu aku reka dia sebagai sepupu aku dan aku jugak lah bagi nama dia Ali.” Sambung Wafa lagi.
            “ Wah, cerita kau ni memang lagi terbaik dari kisah Harry Potter yang aku dok baca berbuku – buku tu, Wafa.” Wajah Mardiana jelas kagum.
            Wafa mengerut dahi. “ Haish kau ni, apa kaitan pulak kisah aku dengan Harry Potter tu?”
            “ Habis tu, macam mana family Ali tahu yang Ali ada kat sini pulak?” soal Mardiana lagi.
            “ Aku lah yang bagitahu. Aku buat report lah apa lagi. Bernanah jugak telinga aku dengar polis dekat balai tu membebel. Tapi tak apa lah janji aku dah berterus terang.”
            “ Memang patut pun. Wafa.. wafa.. macam mana lah kau boleh sorok anak orang dalam rumah. Lelaki bukan muhrim pulak tu. Mati – mati aku ingatkan sepupu kau tau.” Mardiana menjuihkan bibir.
            “ Habis kalau sepupu tu muhrim ke?” soal Wafa pulak.
            Mardiana gagap. “ Err bukan muhrim jugak.” Dia tersengih malu.
            “ Sudah la tu. Jom tidur. Esok nak bangun pergi kerja pulak.” Wafa menarik selimut ke tubuhnya dan segera membelakangkan Mardiana.
            Mardiana menarik muka. Lantas dia menggoyang – goyangkan tubuh temannya itu. “ Wafa, aku ada benda nak tanya lagi ni.”
            Haish budak ni..Wafa segera menolehkan kepalanya melihat Mardiana dengan ekor mata. “ Apa lagi kau nak tanya?”
            “ Em apa nama sebenar Ali tu, Wafa?”
            “ Kau nak tahu buat apa nama sebenar dia?” Wafa mula pelik.
            “ Tak boleh ke aku nak tahu?” Mardiana pula pelik.
            Wafa segera memusingkan badannya ke arah Mardiana. Ditenung lama wajah yang sedang menunggu jawapan dari bibirnya itu. “ Kau nak tahu kan apa nama dia?”
            Mardiana menganggukkan kepalanya laju. Terkebil – kebil matanya memandang sepasang mata milik temannya itu. Tidak sabar – sabar menanti. Wafa mendekatkan bibirnya ke telinga Mardiana.
            “ Nama dia A. L. I.” Lantas dia memusingkan semula tubuhnya sambil ketawa besar.
            Mardiana sedikit tercengang. A. L. I. ? Ali? “ Wafa, kau ni memang sengaja kan?” Mardiana merengus geram.
            “ Selamat malam.” Ujar Wafa dengan ketawa yang masih berbaki.
***

Seperti yang dijangkakan, Tengku Aakif Nawfal begitu teruja melihat hiasan mewah dalam bilik tidurnya itu. Dari jejak kakinya masuk ke dalam rumah argam itu tadi, kelopak matanya bagaikan susah hendah berkedip disebabkan terlalu terpegun. Semua perhiasan dah confirm import punya. Seperti baru pertama kali dia melihat ruang mewah dalam rumah itu.
Tatkala itu juga dia merasakan masa seakan terhenti seketika apabila dia terpandang gambar ahli keluarga Tan Sri Tengku Mustapha tergantung megah di ruang tamu rumah mewah itu. Wajahnya yang mempamerkan senyuman tampan sedang berdiri bersebelahan ibu bapanya dalam gambar itu membuatkan dia merasakan satu aura asing yang wujud dalam dirinya. Inilah diri aku sebenar!
            Aakif menghempaskan tubuhnya di atas katil. Wah, katil daripada kayu jati ni! Kuat dan kukuh. Tidur empat lima orang pun tak roboh lagi. Bukan macam katil yang Wafa bagi aku tidur tu. Baru beralih sikit dah berbunyi. Maklum lah katil besi. Entah – entah dalam bilik dia, katil bukan main mewah lagi. Kedekut! Ngomel Aakif sendiri. Matanya merenung syiling lama. Seketika kemudian, dia mengeluh perlahan. Ni kalau dekat rumah Wafa ni, confirm aku dah dengar dah bunyi kipas yang macam nak terjatuh dari syiling tu. Setiap malam aku rasa ngeri nak tidur. Ha, kalau macam ni kan bagus. Ada air – cond, sunyi dan selesa je aku nak tidur. Bebel Aakif lagi.
            Dengan tak semena – mena, Aakif bangun lalu duduk bersila di atas katilnya. Dahinya dikerutkan sedikit. Eh, yang aku ni kenapa? Dari tadi tak habis – habis sebut nama Wafa. Entah – entah minah tu siap buat kenduri lagi bersyukur atas pemergian aku. Yang aku ni terhegeh – hegeh rindukan dia pulak. Ah, sudah! Lebih baik aku tidur cepat daripada asyik merepek bukan – bukan ni.
            Aakif segera membaringkan tubuhnya semula. Dia menarik comforter lembut menyelimuti tubuhnya. Lantas dia memejamkan matanya rapat dengan harapan dia akan lena dibuai mimpi. Tak sampai seminit, Aakif mencelikkan matanya semula. Tapi betul ke aku rindukan Wafa? Bisik hati kecilnya tiba – tiba.
***
Pagi itu, Aakif membuka almarinya untuk mencari pakaian yang memang telah menjadi hak milik mutlaknya selama ini. Biji matanya seakan – akan hendak tersembul melihat setiap persalinan yang digantung rapi di dalam almari bajunya itu. Dia segera membelek pakaian – pakaian itu untuk melihat jenama – jenama yang dimilikinya. Wah, adakah ini semua milik aku? Rasa macam susah nak percaya hidup aku semewah ni. Sempat lagi Aakif mengomel sendiri. Tiba – tiba pandangan matanya menangkap ke arah sehelai kot yang turut digantung kemas dalam almari itu. Apa yang menarik perhatiannya tika itu adalah sepucuk surat yang dimasukkan ke dalam kocek kot itu. Serta – merta dicapainya.
Usai menunaikan solat Subuh, Tengku Aakif Nawfal menuruni anak tangga menuju ke ruang dapur untuk mencari bahan makanan yang boleh diisi ke dalam perutnya yang dari tadi tak henti – henti berbunyi. Tika itu, langkahnya terhenti apabila terlihat Tengku Muaz dan Puan Nafeesah bersama dengan Puan Sri Tengku Sakinah sedang bersarapan di ruang makan.   
            “ Eh cepatnya anak mama bangun? Mari lah sarapan sekali. Mama ingatkan Aakif tidur lagi tadi. Mama tak kejutkan lah.” Tegur Puan Nafeesah apabila menyedari kelibat Aakif sedang tercegat memandang ke arah mereka. Serta – merta kepala Tengku Muaz dan Puan Sri Tengku Sakinah menoleh ke arah pemuda itu.
            Puan Sri Tengku Sakinah terpaku. Begitu juga dengan Aakif yang dari tadi merenung lama wajah yang sudah dimamah usia itu. Wajah itu seperti pernah dilihatnya. Lantas Puan Sri Tengku Sakinah segera mendapatkan cucu kesayangannya itu. Dipeluk erat cucunya itu sehinggakan air mata jernihnya mengalir ke pipi.
            “ Syukur Ya Allah, cucu aku masih selamat!”
            “ Cucu?” Aakif menayang wajah pelik.
            Puan Sri Tengku Sakinah menganggukkan kepalanya laju. “ Tak apa sayang. Papa Aakif dah cerita dah semua apa yang berlaku. Kasihan cucu nenda ni. Mari kita makan dulu ya. Mesti Aakif lapar kan?” Puan Sri Tengku Sakinah segera menarik lengan cucunya menuju ke meja makan. Aakif hanya menurut kata. Manakala Tengku Muaz dan Puan Nafeesah sudah mengukir senyuman bahagia melihat gelagat nenek dan cucunya itu.
            Puan Nafeesah menyapu sedikit coklat ke atas sekeping roti bakar lalu diletakkan ke dalam pinggan Aakif. “ Nah, makan banyak – banyak tau. Bagi cepat sihat.” Puan Nafeesah tersenyum.
            Tengku Aakif Nawfal hanya mengangguk. Biji matanya memandang lama roti bakar yang disediakan khas untuk dirinya itu . Kenapa aku rasa macam tak boleh nak telan eh benda alah depan mata aku ni? Seketika kemudian, dia menoleh ke arah papanya yang sedang menyuapkan sesudu bihun goreng ke dalam mulut.
            “ Ma, cedokkan Aakif bihun goreng tu sikit.” Pinta Aakif tiba – tiba sambil menghulurkan pinggannya.
            Semua mata yang berada di situ serta – merta tertancap ke arahnya. “ Eh, kenapa Aakif tak makan roti tu? Aakif kan suka makan roti untuk breakfast.” Puan Nafeesah pelik. Namun, dia tetap cedokkan bihun goreng buat anak terunanya itu.
            “ Aakif tahu. Tapi Aakif teringin nak makan bihun goreng pulak pagi ni.” Balas Tengku Aakif Nawfal bersahaja lalu menyambut huluran pinggan dari mamanya.
            “ Kenapa Kif? Wafa selalu masakkan kamu bihun goreng ke?” Tengku Muaz pula menyampuk. Tersengih.
            Aakif yang baru hendak menelan makanan di kerongkongnya terus tersedak. Cepat – cepat dia mencapai air Nescafe di dalam mug nya.
            “ Abang ni kan dah tersedak budak tu. Tak kan baru sehari Aakif dah rindukan masakkan Wafa kot.” Sambung Puan Nafeesah pula mengusik.
            Tengku Aakif Nawfal segera menggelengkan kepalanya laju. Mama dengan papa ni 2 x 5 aje lah. Yang aku ni pun satu, sejak bila ubah selera pulak. Entah – entah diri aku ni dah sebati dengan cara hidup kampung si Wafa tu kot.
            “ Eh kejap, apa yang kamu semua merepek ni? Wafa tu siapa?” Puan Sri Tengku Sakinah mula pelik.
            “ Wafa tu budak perempuan yang selamatkan Aakif tempoh hari lah bonda. Dia yang tumpangkan Aakif dekat rumah dia beberapa hari tu.” Terang Tengku Muaz.
            Puan Sri Tengku Sakinah menganggukkan kepalanya perlahan tanda memahami. “ Oh, kenapa tak cakap awal – awal? Bonda ingatkan siapa lah tadi. Nasib baik budak tu baik hati nak tolong. Teringin pulak bonda nak jumpa dengan dia.”
            “ Memang baik pun budaknya bonda. Semalam kami dah tengok dah. Cantik orangnya.” Sambung Puan Nafeesah pula tersenyum.
            Ah, sudah! Jangan diorang nak jodohkan aku dengan si cikgu harimau tu pulak. Aku dengan masih tak beberapa nak waras lagi ni tiba – tiba kena kahwin dengan Wafa. Wah, memang tragis betul hidup aku! Sempat lagi Aakif berangan.
            “ Tapi tak secantik Qistina kan?” balas Puan Sri Tengku Sakinah dengan senyuman yang penuh makna.
            Tengku Muaz dan Puan Nafeesah sudah berpandangan antara satu sama lain. Lantas mereka mengukir senyuman palsu sambil menganggukkan kepala perlahan. Tengku Aakif Nawfal pula sudah tersentak dari lamunannya. Qistina? Siapa Qistina? Perempuan dalam surat tu ke?

2 comments:

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?