Followers

Tuesday 19 March 2013

~ Saya Kenal Sayang Saya! 3 ~


Damia menopang dagu di meja kaunter yang menghadap ruang makan pelanggan. Bebola matanya ralit memerhatikan beberapa orang pelanggan yang sedang menjamu selera. Kadang – kala bibirnya tersenyum kecil tanda puas hati bila melihat pelanggan menjamah makanan yang dimasaknya dengan penuh berselera. Tiada apa yang lebih membahagiakan dirinya bila setiap pelanggan yang hadir sangat menggemari hasil masakan dari air tangannya. Dia diibaratkan ibu yang sentiasa menyediakan makanan dalam restoran itu manakala Fahim Rayyan pula diibaratkan sebagai bapa. Cewah! Ada kaitan ke? Hahaha.
            “ Nah.” Fakhri meletakkan segelas jus tembikai di atas meja lalu melabuhkan punggung di sebelah Damia.
            Damia sempat menghadiahkan jelingan kecil buat pemuda itu. Budak ni mana – mana pun boleh muncul. Menganggu ketenteraman awam betul. Walaupun sibuk membebel dalam hati, jus tembikai yang dihulurkan tadi sudah disambar dan diteguk rakus. Sekelip mata saja hanya tinggal gelas kaca di atas meja. Fuh, lega! Hilang dahaga. Damia mengelap bibirnya yang sedikit melekit dengan air manis itu. Fakhri pula sudah menggelengkan kepala perlahan. Apa punya perempuanlah ni!
            So, awak dah ada idea macam mana nak buat saya kena pecat?” soal Fakhri tiba – tiba.
            Damia tersentak. Biji matanya segera dihalakan ke wajah Fakhri di sebelah. Fakhri masih bersahaja. Beberapa orang pelanggan perempuan yang dari tadi sedang mengintai ke arahnya dihadiahkan dengan sebuah senyuman paling tampan. Memang playboy murahan betul!
            “ Err tak ada idea lagipun.” Damia kembali memandang ke ruang makan.
            “ Tak ada lagi? Lama betul awak nak fikir. Takkan benda simple macam tu pun nak fikir sampai bertahun – tahun?” tempelak Fakhri tak pasal – pasal.
            Wah, ini boleh bikin gaduh ni! Damia mula berasap telinga. “ Eh, kalau benda ni simple apasal kau tak buat sendiri aje? Ni pun kira bagus tau aku setuju nak tolong.”
            “ Kalau awak tak tolong, awak jugak yang tempah mautnya nanti.” Fakhri tersengih mengejek.
            Damia hanya mampu merengus geram sedalam – dalamnya. Budak ni memang tak makan saman betul! Sepatutnya aku yang ugut dia, ni aku pulak yang diugut. Cis!
            Tak semena – mena, Fahim Rayyan terpacul betul – betul di hadapan Fakhri dan Damia kala itu. Fakhri yang sedang meneguk jusnya sedikit tersedak. Damia pula sudah berubah air muka. Kedua – duanya terkejut. Macam ada kesalahan besar pulak yang mereka buat.
            “ Korang dah makan ke?” soal Fahim tersenyum tampan.
            Damia juga menghadiahkan senyuman manis buat bosnya. Tidak segera membalas. Aiseyman, ni yang buat aku tergoda ni bila tengok senyuman Encik Fahim yang terserlah kekacakkannya!
            “ Makan dah.” Balas Fakhri acuh tak acuh.
            “ Baguslah kalau macam tu. So, macam mana kerja kau hari ni? Ada apa – apa masalah?” soal Fahim lagi.
            “ Bolehlah. Ala setakat tolong potong sayur dan siang – menyiang kerja senang aje tu. Kalau buat sorang – sorang pun boleh. Tak perlu sampai berdua kat dapur tu. Tak gitu, Cik Damia?” Fakhri tersengih memandang Damia.
            Damia sudah tercengang bila keempat – empat bebola mata dari wajah tampan itu sedang menunggu jawapan dari bibirnya. Alamak, aku nak jawap apa ni? Fakhri menyiku sikit lengan Damia. Damia masih terpinga – pinga. Dia bagi isyarat mata kepada Fakhri tanda tidak mengerti. Fakhri bagi isyarat mata balik. Damia tetap tak faham. Akhirnya, Fakhri hanya mampu membebaskan sebuah keluhan. Fahim pula sudah tersengih kecil melihat adegan di hadapan matanya itu.
            “ Kalau Damia rasa tak selesa nak kerja berdua, saya boleh tukarkan Si Fakhri ni jadi waiter. Macam mana?” Fahim segera bersuara.
            Membuntang biji mata Fakhri bila mendengar ayat yang baru terbit dari bibir abangnya itu. “ Waiter?!! Tak naklah aku jadi waiter! Better aku jadi pembantu chef aje kalau macam tu.” bantah Fakhri secara keras – kerasan.
            “ Damia ok ke kalau Fakhri tolong kat dapur?” Fahim masih lagi sabar menanti gadis itu berbicara.
            Masalahnya Si Damia ni bila berhadapan dengan Fahim Rayyan mulalah jiwa raganya tunggang – langgang. Lidah terus kelu dan keras macam batu. Yang dia tahu senyum, senyum dan senyum. Fakhri sudah menjegilkan biji mata ke arah perempuan di sebelahnya. Kali ni, kaki Damia pula dipijaknya untuk menyedarkan gadis itu.
            “ Adoi!” Damia terkejut. Segera dia jegilkan balik biji matanya kepada Fakhri.
            “ Err saya ok je kalau Fakhri tolong kat dapur. Lagi ramai lagi bagus.” Cepat – cepat Damia membalas. Bibirnya tersengih.
            Fahim hanya tersenyum seraya menganggukkan kepalanya sedikit. Langkah kakinya mula beredar dari ruang itu. Fakhri sudah merenung tajam wajah gadis di sebelahnya. Damia masih selamba. Saja tunjuk muka tak bersalah.
            “ Fahim dah nak bertunang tau hujung minggu depan.”
            So?” Damia masih bersahaja.
            So, yang awak tenung dia dengan perasaan berbunga – bunga tu kenapa? Setahu saya, bakal kakak ipar saya tu bukan awak.” Fakhri tersengih memerli.
            Damia terdiam kejap. Cis, dia perli aku! “ Suka hati akulah. Kenapa? Kau jelous ke?”
            Jelous? Terbeliak terus biji mata Fakhri mendengar. Tiba – tiba dia tergelak kecil. “ Awak belum cukup syarat lagi nak buat saya jelous ok?”
            “ Kalau macam tu, baguslah. Aku pun tak suka ada budak – budak jelous sebab aku ni.” Hahaha. Damia ketawa galak seraya berlalu meninggalkan ruang lepaknya itu.
            Budak – budak? Perempuan ni memang tak sayang mulut betul! “ Damia!!! Saya tak habis bincang pasal perjanjian kita lagi lah!” Kelam – kabut Fakhri mengekori Damia menuju ke dapur.
***

Damia menggoyang – goyangkan pen yang terselit di jari dengan penuh perasaan senang hati. Biji matanya dihalakan ke kaca televisyen yang sedang menayangkan filem Koi Mil Gaya lakonan Hrithik Roshan dan Pretty Zinta. Hindustan lagi! Tapi tak apa. Asalkan cerita ni dapat menarik perhatiannya dari mendengar Puan Rozita yang asyik bercerita tentang anak kenalannya itu pun dah cukup buat Damia bersyukur.
            Rasanya sejak dari lepas makan malam tadi, Puan Rozita tak penat langsung bercakap. Asalnya, Damia hendak mencipta resepi dessert baru untuk restoran tapi segalanya terbantut dengan wajah Puan Rozita yang bersemangat sangat bercerita dari tadi. Kertas putih yang hendak dicatat resepi barunya masih lagi suci bersih tanpa sebarang contengan.
            “ Lusa ni kamu ambil cuti tau, Damia!” Puan Rozita tiba – tiba bagi arahan.
            Damia terus tersentak. Bebola matanya automatik menghala ke wajah Puan Rozita di hadapan mata. Dia pandang lama wajah ibunya. Sebenarnya dia sendiri pun tak ambil perhatian sangat apa yang Puan Rozita membebel dari tadi. Hendak bertanya, takut pulak dijerkah ibunya sebab tak pay attention. Kalau tak bertanya pulak, tak kan dia nak termangu pandang muka Puan Rozita macam tu saja. Nampaknya tak ada pilihan lainlah kalau macam ni!
            “ Kenapa nak kena ambil cuti, mak?” Damia tekup kedua – dua belah telinganya siap – siap.
            Papp!!! Puan Rozita tampar meja kuat. Sampai terpelanting pen yang Damia letak atas meja tadi. Aku dah agak dah akan jadi macam ni. Hehehe. Sempat lagi gadis itu berbisik sendiri.
            “ Kamu tak dengar ya apa yang mak cakap dari tadi?” bengis muka Puan Rozita. Macam nak telan anak sendiri. Mana tak bengang, air liur dia sampai nak kering bercerita tapi Damia tak dengar satu habuk pun.
            “ Err bukan tak dengar mak tapi Damia tengah sibuk cari idea ni untuk dessert baru. Mak kena lah faham.” Damia cuba menyelamatkan diri. Suaranya ditutur selembut mungkin.
            Puan Rozita mula buat mata spiderman atau dalam erti kata lain dia memandang tajam wajah Damia. Kertas putih di atas meja itu terus menjadi mangsa ronyokkan dari tangan Puan Rozita. Damia tunduk muka sikit. Seram pulak dibuatnya.
            “ Kamu ambil cuti lusa ni. Lepas tu, pergi temujanji yang mak dah aturkan dengan kawan mak tadi. Mak ada tunjuk gambar kamu kat anak dia dan anak dia tu pun dah berkenan.” Puan Rozita membuat penerangan dengan lebih terperinci.
            Temujanji?! Membulat biji mata Damia yang sememangnya sudah bulat itu. Patutlah mak beria – ria cerita pasal anak kawan dia tadi. Rupanya nak jodohkan aku. Damia mengeluh kecil. Sejak bila mak register kerja match maker pulak ni?
            “ Orang tak naklah mak.” Damia membalas malas. Dia sedar dia sedang menempah maut dengan balasan sebegitu rupa.
            “ Mak cakap pergi.” Puan Rozita masih berkeras.
            “ Tak nak!” Damia juga tak mahu mengalah.
            “ Pergi!” Puan Rozita lagi meninggikan pitch suara.
            “ Mak, tolonglah faham perasaan orang!” Damia cuba memprotes.
            “ Ok, cuba bagitahu mak kenapa kamu tak nak pergi?”
            Damia terdiam. Err aku nak bagi alasan apa eh? Tak kan nak cakap aku tak suka cuti kerja kot. Nampak sangat membohong sebab baru – baru ni pun mak baru dapat surat dari Kak Farah yang perasan bagus tu pasal aku selalu datang kerja lambat. Childish betul! Macam budak – budak sekolah pulak nak bagi surat amaran bagai. Padahal Encik Fahim tak bising apa pun kat aku. Menyampah!
            “ Kamu dah ada boyfriend ke, Damia?” Puan Rozita cuba menduga.
            Erkk! Lamunan gadis itu dibunuh dengan kejamnya. Boyfriend? Damia menggeleng kepalanya perlahan tanda tiada.
            “ Habis tu, apa masalahnya lagi? Kamu single, anak kawan mak pun single.”
            “ Masalahnya, orang tak kenal anak kawan mak tu. Siapa dia? Macam mana rupa dia? Dia kerja apa? Macam mana kalau dia tak kena dengan taste orang?”
Wah Damia, kau fikir kau anak raja nak demand lebih?! Ah, peduli lah! Yang penting, aku berjaya larikan diri dari blind date ni. Kih kih kih.
“ Tadi mak cerita pasal dia, kamu buat pekak. Lepas tu, merungut itu tak tahu ini tak tahu. Dengar sini lagi sekali mak bagitahu. Nama dia Kamal bin Liman. Rupa dia boleh lah tahan handsome. Dia kerja cikgu kat sekolah menengah. Yang paling penting, dia pegang black belt taekwondo tau.” Puan Rozita tersengih bangga. Macam dia pulak yang pegang black belt tu.
“ Ala mak, tapi orang tetap tak pernah kenal dia. Hah?! Dia pegang black belt kan? Nampak sangat dia berpotensi nak jadi orang jahat yang suka pukul – pukul orang tu.”
Papp!!! Puan Rozita terus melayangkan rotan bulu ayam ke lengan Damia. Berbekas merah dibuatnya lengan putih itu. Damia menggosok – gosok lengannya. Cis, bila masa pulak bulu ayam tu boleh ada kat tangan mak?!
“ Apa mak ni main kasar?!”
“ Kamu tu yang main kotor. Kan mak dah cakap, dia kerja cikgu. Bukannya penjenayah. Lagipun, dia dah memenuhi sangat ciri – ciri menantu pilihan mak. Dia pandai seni mempertahankan diri macam arwah ayah kamu dulu.” Puan Rozita tersengih lagi. Tiba – tiba perasaan rindu pada arwah suaminya menggamit hati.
“ Memanglah tapi tak semestinya dia dapat memenuhi taste orang, mak.” Damia membalas perlahan.
“ Kamu tak serik lagi ke Damia?” Puan Rozita pandang sinis.
“ Ye lah. Orang pergi. Kat mana temujanji tu?” Damia akhirnya mengangkat bendera putih.
“ Kat Restoran Seri Puteri.” Puan Rozita tersenyum puas. Tanda dia telah menjuarai perbalahan yang baru berlansung sebentar tadi.
Damia ternganga. Restoran Seri Puteri?!!
***
Puan Maria yang sedang menonton televisyen sesekali melirikkan biji matanya ke arah Fakhri yang sedang berbaring di atas sofa sambil ligat menyentuh skrin Samsung Galaxy S3 nya. Kelibat Fahim sejak tadi masih belum muncul di ruang itu. Pelik. Kebiasaannya, Fahim akan bersantai bersama mereka selepas makan malam. Tapi malam ni, terus lesap macam tu saja.
            “ Abang kamu ke mana, Fakhri?” Puan Maria memecah sunyi.
            “ Tak tahulah, ma. Rasanya lepas makan tadi dia terus keluar. Orang ada kekasih hati... Biasalah tu.” bebola mata Fakhri masih tepat memandang ke skrin telefon bimbitnya.
            “ Kalau ya pun, bagilah tahu mama dulu.” Puan Maria mengomel kecil.
            Fakhri terus kalih mata tepat ke wajah Puan Maria. “ Ala risau sangatlah tu dengan anak manja dia. Fahim kan dah besar, ma. Dah nak kahwin dah pun. Mama tak payahlah risau sangat. Lagipun, dia mesti ada dengan bakal bini dia tu. Nanti bini dia jugak yang akan jaga dia. Mama tak perlulah risau sangat tau.” Panjang bukan main syarahan yang diberikan.
            “ Ewah – ewah bila bakal lawyer ni mula bercakap. Mama bukan risau kat Fahim seorang. Kalau kamu pun hilang macam Fahim jugak, mama pun akan risau. Kedua – duanya anak manja mama tahu tak?”
            “ Eh, Fakhri pun anak manja mama ke?” Fakhri tersengih. Sengaja buat – buat terkejut.
            “ Mestilah. Dua – dua anak mama. Darah daging mama. Kenapa?”
            “ Kalau Fakhri ni anak manja mama, apa kata Fakhri tak payah...”
            “ Fakhri tetap kena jugak kerja. Jangan cuba nak hasut mama ya. Mama kenal sangat dengan muslihat lawyer ni.” Belum sempat Fakhri menghabiskan kata, Puan Maria segera memotong. Dia memberi sengihan yang menyakitkan hati Sang Pendengar.
            Fakhri terus memandang skrin telefon bimbitnya semula. Dia mengeluh kecil. Haih, bilalah agaknya aku dapat lepaskan diri dari Restoran Seri Puteri tu? Satu – satunya harapan aku sekarang adalah Damia. Damia, kau akan bekerjasama dengan aku kan? Kau jangan mungkir janji, Damia. Soal cuti sem aku sekarang ada dalam tangan kau!
***
Rasanya dah nak dekat tiga jam Damia tidak bersuara sejak dia masuk kerja pukul 8 pagi tadi. Suasana di ruang dapur menjadi suram tengahari itu disebabkan mulut Damia yang seperti kehabisan bateri. Fakhri yang setia menjalankan tugas sebagai pembantu chef turut terasa tempiasnya. Pelik juga dibuatnya bila gadis itu menyepikan diri. Ada masalah ke? Atau aku yang ada buat masalah?
            “ Nah, spaghetti yang awak suruh saya rebus tadi!” Fakhri menghulurkan semangkuk spaghetti yang telah siap direbus.
            Damia hanya menyambut huluran tanpa sebarang ucapan terima kasih. Lantas dia menyediakan makanan yang dipesan oleh pelanggan. Cekap kerjanya. Tak sampai lima minit, spaghetti bolognaise siap diletakkan di dalam mangkuk kaca putih dan sedia untuk dihidangkan kepada pelanggan.
            Fakhri masih lagi memerhatikan tingkah laku Damia yang tangkas melakukan kerja sejak pagi tadi. Walaupun chef wanita itu hanya ditugaskan untuk memasak dan terdapat beberapa orang pembantu lain yang menyediakan bahan – bahan masak tetapi kesibukkan Damia tetap tidak berkurang. Sikapnya yang tidak pernah berkira dalam membuat kerja sedikit sebanyak membuatkan pemuda itu sedikit kagum.
            Chicken chop?” Tiba – tiba Damia menghulurkan sepinggan chicken chop kepada Fakhri yang sedang bertapa di ruang makan staf.
            For what?” Fakhri pelik. Rasanya dia tak order chicken chop pun untuk lunchnya hari tu.
            “ Untuk balas budi jus tembikai semalam.” Bersahaja nada gadis itu.
            “ Oh, ok!” Fakhri menyambut huluran Damia.
            Belum sempat Damia hendak berlalu pergi, cepat – cepat Fakhri menahan. “ Damia, tunggu kejap!”
            Damia mematikan langkah dan segera memalingkan kepala ke arah Fakhri.
            “ Duduk sini dulu.” Fakhri memberi arahan tiba – tiba.
            Damia sudah menayang wajah pelik. Namun, arahan Fakhri tetap dipatuhinya. Lantas dia melabuhkan punggungnya berhadapan pemuda itu.
            “ Kalau kau nak tanya aku pasal Encik Fahim pecat kau tu, sorry. Aku tak ada idea lagi.”
            “ Ada lagi lima hari, Damia. Dua hari sudahpun berlalu dan awak sepatutnya bekerja keras fikir macam mana nak buat Fahim fire saya.” Balas Fakhri sambil menghiris isi ayam di dalam pinggannya. Konon macho dengan gaya hiris ayam macam tu.
            Damia sudah mengeluh kecil. “ Sebenarnya apa masalah kau eh? Susah sangat ke nak kerja kat sini? Bukannya restoran orang lain pun. Restoran abang kau jugak kan?”
            “ Kenapa? Awak suka saya kerja kat sini ke?” Fakhri tersengih gatal.
            Damia serta – merta tersentak. “ Kau jangan nak merepeklah. Kalau kau tak kerja sini seribu kali lagi bagus tau. Taklah semak mata aku ni hari – hari nampak kau.” Damia sengaja menghambur tawa besar.
            “ Ha kalau macam tu, apa masalahnya lagi? Tolong cari idea cepat sikit ya macam mana nak buat saya blah dari sini. As soon as possible. Mulut saya pun dah ringan sangat ni nak bagitahu Puan Maria berita hot.” Sekali lagi Fakhri tersengih. Kali ni lebih kejam sengihannya.
            Turun – naik, turun – naik nafas Damia menahan geram. Sebuah jelingan tajam segera dihadiahkan buat pemuda itu. Tak habis – habis nak ugut aku budak ni. Kalau dia bukan adik bos, memang aku belasah dia sekarang jugak!
            “ Aku tahulah!” Segera Damia mengghaibkan diri dari ruang itu. Kalau tunggu lama – lama lagi, memang boleh bikin gaduh nanti!
            Fakhri masih dengan sengihnya sambil mengunyah makanan di dalam mulut. Damia... Damia... Kan cantik muka kau tak mencuka macam tadi. Semakin kau marah, semakin cantik hasilnya. Cantik? Ah, sudah! Yang aku ni kenapa pulak?!

3 comments:

  1. best!
    -roomate sejati- :)

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. *tapi x ada kt kedai buku...how sad

    ReplyDelete

sepatah komen anda ibarat setitik peluh petani..eh?